Thursday, September 5, 2013

#2

    Sejak beberapa masa belakangan ini, cukup banyak timbul "serangan-serangan" terhadap isu berkait sensitiviti beragama di Malaysia. Umumnya, isu ini kembali hangat selepas timbul tuntutan daripada sebuah majalah mingguan Katolik, The Herald untuk menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mereka. Seterusnya berlarutan terhadap beberapa isu lain, terbaru mengenai tuduhan terhadap beberapa individu atas kesalahan menghina Islam.
   
     Sudah tentu, apabila timbul isu panas sebegini, reaksi daripada masyarakat kita cukup pelbagai. Berlatar belakangkan pelbagai bidang, respons daripada beberapa kelompok cukup berbeza. Ada sesetengah yang cuba memandang daripada perspektif yang positif, dengan sangkaan-sangkaan baik, isu ini berlaku kerana kurang kefahaman. Tidak kurang juga wujud kelompok yang lebih agresif memandang ini satu cubaan serius menjatuhkan maruah Islam. Dan sudah tentu yang lebih ramai daripada keduanya, bukan sekadar tidak meletakkan sebarang pegangan bahkan langsung tidak dipandang, mungkin dianggap kurang berkepentingan.

     Hakikatnya, walau apa pun, pendirian yang kita berdiri di belakangnya, perkara pokok yang utama perlu diberi perhatian adalah atas sebab apa kita berpandangan sedemikian rupa? Tanpa meletakkan apa-apa bebanan tuduhan, mari sama-sama kita berhenti sejenak dan sama-sama fikirkan.

     Dalam meletakkan pegangan yang adil terhadap sesuatu perkara, yang perlu jelas terlebih dahulu adalah maklumat yang diperoleh semuanya tepat, tidak condong kepada mana-mana pihak, serta betul pula sudut pandangnya, bebas daripada persepsi yang sudah bersarang berselirat.  Supaya, sebelum hukuman dijatuhkan, segala pertimbangan itu tadi sudah dicerna lumat. Kemudian, sesudah itu perlu pula kita analisis, setiap isu yang timbul itu, bagaimana cara terbaik untuk diselesaikan dan ditanggapi dengan penuh cermat.

     Sesetengah kita sentiasa bertindak dengan penuh kekerasan, berpandukan pegangan setiap yang berlaku itu "serangan". Walau apa pun tanggapan semua pihak, perkara yang penting, "maruah" agama perlu dipertahankan. Kesan akhir boleh dikira kemudian, yang utama pihak yang "menyerang" mesti dihukum dan diambil tindakan!

     Sebelum kita berhujah penuh keyakinan dengan kemungkinan-kemungkinan itu, mari sama-sama kita hayati peristiwa sirah berlaku dalam peristiwa peperangan Bani Mustaliq. Dalam peristiwa yang dirakamkan di dalam Al-Quran [1] itu, baginda Rasulullah saw telah menunjukkan satu contoh yang cukup teliti dalam menghadapi penghinaan daripada seorang munafiq, Abdullah bin Ubai bin Salul. Ketika mana sahabat baginda yang agung, Saidina Umar al-Khattab mengarahkan 'Abbad bin Basyar membunuh Ibnu Ubai, cukup berhikmah jawapan yang diberikan oleh baginda Rasulullah saw.

     "Bagaimana Umar, nanti orang mengatakan bahawa Muhammad membunuh sahabatnya?" [2]

      Sudah tentu, tidak terbanding kita semua dengan kebijaksaan baginda dalam menafsir suasana dan menebak akibat yang mungkin akan berlaku. Tetapi, pengajarannya cukup jelas boleh diambil dan dipertimbangkan. Tidak semua perkara semudah hitam dan putih, semudah betul dan salah, bahkan terlalu banyak pertimbangan yang perlu diletakkan sebelum kita mengambil apa-apa posisi bahkan lagi untuk mengambil tindakan.

     Namun, tidak dinafikan juga, dalam kita meletakkan sangkaan-sangkaan yang baik, perasaan waspada dan curiga terhadap "agenda" musuh tetap perlu ada. Kerana sememangnya, akan sentiasa ada cubaan-cubaan untuk menjatuhkan Islam dengan pelbagai cara dan arah yang munkin tidak disangka-sangka. Bahkan, semestinya sifat seorang mukmin yang berjaya sentiasa berhati-hati dalam setiap langkahnya, dan berserah kepada Allah, Tuhan yang menggagalkan segala tipu daya.

     Walau di mana pun pegangan yang kita percaya, marilah kita cuba memandang manusia dengan pandangan kerahmatan seperti mana Allah memandang hambanya dengan pandangan kemaafan. Setiap tindakan perlu dipertimbangkan dengan peluang ke arah kebaikan dan perubahan daripada sesiapa pun. Dalam hal ini, Dr Yusuf al-Qaradawi menyebut di dalam "Min Fiqh Daulah Fil Islam" akan keperluan berlembut dan berbuat baik dalam mengubah keburukan dan kemaksiatan. [3] Beliau memetik firman Allah di dalam Al-Quran, Surah Toha, ayat 43-44 yang bermaksud:

      "pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas dalam kekufuran. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga dia beringat atau takut" [4]

      Ayat ini menceritakan mengenai perintah Allah kepada Musa dan Harun untuk berdakwah kepada Firaun [yang mana banyak disebut di dalam al-Quran sendiri akan kekufurannya] dengan menggunakan perkataan yang lemah-lembut, dengan pengharapan ikhlas agar dia tunduk kepada peringatan daripada Allah. Semoga kita termasuk dalam golongan yang sentiasa diberi petunjuk oleh Allah swt.

Sesungguhnya agama ini tidak tertegak [hanya] kerana usaha kita, bahkan dengan keizinan dan kehendak daripada Allah swt jua!


---------------------------------------------------------------------------------------------------
[1] Surah al-Munafiqun, ayat 8
[2] Fiqh Sirah 2 (Terjemahan Dewan Pustaka Fajar), Almarhum Sheikh Muhammad Sa'id Ramadan Al-Buti
[3] (Translated version by Al-Falah Foundation) - State in Islam, Sheikh Yusuf al-Qaradawi, 187-188
[4] Surah Toha, ayat 43-44

No comments: