Sejak beberapa masa belakangan ini, cukup banyak timbul "serangan-serangan" terhadap isu berkait sensitiviti beragama di Malaysia. Umumnya, isu ini kembali hangat selepas timbul tuntutan daripada sebuah majalah mingguan Katolik, The Herald untuk menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mereka. Seterusnya berlarutan terhadap beberapa isu lain, terbaru mengenai tuduhan terhadap beberapa individu atas kesalahan menghina Islam.
Sudah tentu, apabila timbul isu panas sebegini, reaksi daripada masyarakat kita cukup pelbagai. Berlatar belakangkan pelbagai bidang, respons daripada beberapa kelompok cukup berbeza. Ada sesetengah yang cuba memandang daripada perspektif yang positif, dengan sangkaan-sangkaan baik, isu ini berlaku kerana kurang kefahaman. Tidak kurang juga wujud kelompok yang lebih agresif memandang ini satu cubaan serius menjatuhkan maruah Islam. Dan sudah tentu yang lebih ramai daripada keduanya, bukan sekadar tidak meletakkan sebarang pegangan bahkan langsung tidak dipandang, mungkin dianggap kurang berkepentingan.
Hakikatnya, walau apa pun, pendirian yang kita berdiri di belakangnya, perkara pokok yang utama perlu diberi perhatian adalah atas sebab apa kita berpandangan sedemikian rupa? Tanpa meletakkan apa-apa bebanan tuduhan, mari sama-sama kita berhenti sejenak dan sama-sama fikirkan.
Dalam meletakkan pegangan yang adil terhadap sesuatu perkara, yang perlu jelas terlebih dahulu adalah maklumat yang diperoleh semuanya tepat, tidak condong kepada mana-mana pihak, serta betul pula sudut pandangnya, bebas daripada persepsi yang sudah bersarang berselirat. Supaya, sebelum hukuman dijatuhkan, segala pertimbangan itu tadi sudah dicerna lumat. Kemudian, sesudah itu perlu pula kita analisis, setiap isu yang timbul itu, bagaimana cara terbaik untuk diselesaikan dan ditanggapi dengan penuh cermat.
Sesetengah kita sentiasa bertindak dengan penuh kekerasan, berpandukan pegangan setiap yang berlaku itu "serangan". Walau apa pun tanggapan semua pihak, perkara yang penting, "maruah" agama perlu dipertahankan. Kesan akhir boleh dikira kemudian, yang utama pihak yang "menyerang" mesti dihukum dan diambil tindakan!
Sebelum kita berhujah penuh keyakinan dengan kemungkinan-kemungkinan itu, mari sama-sama kita hayati peristiwa sirah berlaku dalam peristiwa peperangan Bani Mustaliq. Dalam peristiwa yang dirakamkan di dalam Al-Quran [1] itu, baginda Rasulullah saw telah menunjukkan satu contoh yang cukup teliti dalam menghadapi penghinaan daripada seorang munafiq, Abdullah bin Ubai bin Salul. Ketika mana sahabat baginda yang agung, Saidina Umar al-Khattab mengarahkan 'Abbad bin Basyar membunuh Ibnu Ubai, cukup berhikmah jawapan yang diberikan oleh baginda Rasulullah saw.
"Bagaimana Umar, nanti orang mengatakan bahawa Muhammad membunuh sahabatnya?" [2]
Sudah tentu, tidak terbanding kita semua dengan kebijaksaan baginda dalam menafsir suasana dan menebak akibat yang mungkin akan berlaku. Tetapi, pengajarannya cukup jelas boleh diambil dan dipertimbangkan. Tidak semua perkara semudah hitam dan putih, semudah betul dan salah, bahkan terlalu banyak pertimbangan yang perlu diletakkan sebelum kita mengambil apa-apa posisi bahkan lagi untuk mengambil tindakan.
Namun, tidak dinafikan juga, dalam kita meletakkan sangkaan-sangkaan yang baik, perasaan waspada dan curiga terhadap "agenda" musuh tetap perlu ada. Kerana sememangnya, akan sentiasa ada cubaan-cubaan untuk menjatuhkan Islam dengan pelbagai cara dan arah yang munkin tidak disangka-sangka. Bahkan, semestinya sifat seorang mukmin yang berjaya sentiasa berhati-hati dalam setiap langkahnya, dan berserah kepada Allah, Tuhan yang menggagalkan segala tipu daya.
Walau di mana pun pegangan yang kita percaya, marilah kita cuba memandang manusia dengan pandangan kerahmatan seperti mana Allah memandang hambanya dengan pandangan kemaafan. Setiap tindakan perlu dipertimbangkan dengan peluang ke arah kebaikan dan perubahan daripada sesiapa pun. Dalam hal ini, Dr Yusuf al-Qaradawi menyebut di dalam "Min Fiqh Daulah Fil Islam" akan keperluan berlembut dan berbuat baik dalam mengubah keburukan dan kemaksiatan. [3] Beliau memetik firman Allah di dalam Al-Quran, Surah Toha, ayat 43-44 yang bermaksud:
"pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas dalam kekufuran. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga dia beringat atau takut" [4]
Ayat ini menceritakan mengenai perintah Allah kepada Musa dan Harun untuk berdakwah kepada Firaun [yang mana banyak disebut di dalam al-Quran sendiri akan kekufurannya] dengan menggunakan perkataan yang lemah-lembut, dengan pengharapan ikhlas agar dia tunduk kepada peringatan daripada Allah. Semoga kita termasuk dalam golongan yang sentiasa diberi petunjuk oleh Allah swt.
Sesungguhnya agama ini tidak tertegak [hanya] kerana usaha kita, bahkan dengan keizinan dan kehendak daripada Allah swt jua!
---------------------------------------------------------------------------------------------------
[1] Surah al-Munafiqun, ayat 8
[2] Fiqh Sirah 2 (Terjemahan Dewan Pustaka Fajar), Almarhum Sheikh Muhammad Sa'id Ramadan Al-Buti
[3] (Translated version by Al-Falah Foundation) - State in Islam, Sheikh Yusuf al-Qaradawi, 187-188
[4] Surah Toha, ayat 43-44
kosong. kalau ada pun mungkin isinya sedikit. sebab itu bunyinya mungkin kuat. oh. tenong tu mangkuk tingkat disebut dalam loghat Terengganu.
Thursday, September 5, 2013
Saturday, July 6, 2013
#1
Seorang insan, tanpa
mengira apa juga latar kehidupan, pekerjaan, jantina bahkan usia, asal sahaja
dia bernama manusia, hampir pasti dalam kehidupannya akan terpalit dugaan dan
cabaran, kesusahan dan kedukaan. Boleh jadi kesusahannya dalam bentuk sempit kewangan
kepada seorang ketua keluarga, atau ditimpa kecelakaan ketika sedang bergembira,
atau seorang siswa yang punya masalah pelajaran bahkan mungkin anak-anak kecil
yang punyai masalah pergaulan dengan teman-teman. Ini realiti dan hakikat
kehidupan.
Meskipun ujian yang
dihadapi itu berbeza-beza, perkara pokok yang menjadi persamaan dalam setiap
kesukaran adalah bagaimana kita
bertidakbalas terhadap dugaan tersebut. Itulah yang akhirnya akan menjadi kayu
ukur akan nilai seseorang manusia.
Mungkin, ada dalam
kalangan kita diuji dengan ujian yang maha dahsyat, tetapi kerana nilai yang
ada padanya tinggi, kesukaran itu dihadapi dengan sabar dan tidaklah ia
dianggap besar melainkan hanya ibarat titisan ubat penawar kepada luka. Pedih
tetapi menyembuhkan!
Juga mungkin ada dalam
kalangan kita, yang diuji dengan dugaan yang tidak sehebat mana, tetapi kerana
kurangnya keterbiasaan dengan kesusahan menjadikan masalah itu terlihat besar
dan menakutkan, sehingga terasa kehidupan sudah menjadi serba sukar dan merumitkan.
Ada sebuah kisah masyhur yang menarik mengenai
kehidupan seorang sufi wanita Rabi'atul Adawiyah yang mungkin boleh kita hayati
untuk merobah sudut pandang dalam melihat kesusahan.
Suatu hari, Rabi'atul
Adawiyah terlihat seseorang sedang berjalan-jalan dengan kepalanya berbalut sambil menagih simpati
daripada orang ramai. Kerana ingin tahu sebabnya orang itu berbuat demikian,
Rabi'atul Adawiyah bertanya, "Wahai hamba Allah! Mengapa engkau membalut
kepalamu sebegini rupa?"
"Kepalaku sakit." Jawab orang itu dengan ringkas.
"Sudah berapa lama?" Tanya Rabi'atul Adawiyah lagi.
"Sudah sekian hari." Jawabnya dengan tenang.
Lantas Rabi'atul Adawiyah bertanya lagi,"Berapa usiamu sekarang?"
Orang itu menjawab,"Sudah 30 tahun"
"Bagaimana keadaanmu selama 30 tahun itu?" Tanya beliau lagi.
"Alhamdulillah, sihat-sihat saja." Jawabnya.
"Apakah kamu memasang sebarang tanda di badanmu bahawa kamu sihat selama ini?" Tanya Rabi'atul
Adawiyah.
"Tidak." Jawab orang itu ragu-ragu.
"Masya Allah, selama 30 tahun Allah telah menyihatkan tubuh badanmu, tetapi kamu langsung tidak memasang sebarang tanda bagi menunjukkan kamu sihat sebagai tanda bersyukur kepada Allah. Jika sebaliknya, pasti manusia akan bertanya kepada kamu sebabnya kamu sangat gembira. Apabila mereka mengetahui nikmat Allah kepadamu, diharapkan mereka akan bersyukur dan memuji Allah." Jelas Rabi'atul Adawiyah.
"Akan tetapi, kini apabila kamu mendapat sakit sedikit, kamu balut kepalamu dan kemudian pergi ke
sana sini bagi menunjukkan sakitmu dan kekasaran Allah terhadapmu kepada orang ramai, Mengapa kamu berbuat hina seperti itu?" Sambung Rabi'atul Adawiyah lagi.
Orang yang berbalut kepalanya itu hanya diam seribu bahasa dan tertunduk malu dengan perlakuannya. Kemudian dia beredar meninggalkan Rabi'atul Adawiyah dengan perasaan kesal dan insaf.
"Kepalaku sakit." Jawab orang itu dengan ringkas.
"Sudah berapa lama?" Tanya Rabi'atul Adawiyah lagi.
"Sudah sekian hari." Jawabnya dengan tenang.
Lantas Rabi'atul Adawiyah bertanya lagi,"Berapa usiamu sekarang?"
Orang itu menjawab,"Sudah 30 tahun"
"Bagaimana keadaanmu selama 30 tahun itu?" Tanya beliau lagi.
"Alhamdulillah, sihat-sihat saja." Jawabnya.
"Apakah kamu memasang sebarang tanda di badanmu bahawa kamu sihat selama ini?" Tanya Rabi'atul
Adawiyah.
"Tidak." Jawab orang itu ragu-ragu.
"Masya Allah, selama 30 tahun Allah telah menyihatkan tubuh badanmu, tetapi kamu langsung tidak memasang sebarang tanda bagi menunjukkan kamu sihat sebagai tanda bersyukur kepada Allah. Jika sebaliknya, pasti manusia akan bertanya kepada kamu sebabnya kamu sangat gembira. Apabila mereka mengetahui nikmat Allah kepadamu, diharapkan mereka akan bersyukur dan memuji Allah." Jelas Rabi'atul Adawiyah.
"Akan tetapi, kini apabila kamu mendapat sakit sedikit, kamu balut kepalamu dan kemudian pergi ke
sana sini bagi menunjukkan sakitmu dan kekasaran Allah terhadapmu kepada orang ramai, Mengapa kamu berbuat hina seperti itu?" Sambung Rabi'atul Adawiyah lagi.
Orang yang berbalut kepalanya itu hanya diam seribu bahasa dan tertunduk malu dengan perlakuannya. Kemudian dia beredar meninggalkan Rabi'atul Adawiyah dengan perasaan kesal dan insaf.
Tiada salahnya pada
perbuatan orang tersebut membalut kepala. Bahkan untuk mengubat sakit, jika itu
penawarnya maka sudah tentu itu yang perlu dilakukan. Ya itu benar, bahkan tepat.
Cumanya yang ingin difokuskan dalam kisah ini bukanlah mengenai kesakitan yang
dihadapi orang tersebut. Tetapi, tindakbalas dan reaksinya terhadap kesakitan
dengan menagih simpati orang ramai itu yang ditekankan.
Betapa rendahnya nilai
diri kita sekiranya setiap ujian dan kesusahan yang dihadapi senantiasa
ditunjukkan dan diwara-warakan. ditambah pula dengan perkembangan teknologi
kini, yang sering dipaparkan dan dijadikan perbualan harian adalah "kekasaran
Tuhan" kepada kita. Mengapa tidak kita ikuti yang telah dicontohkan oleh
Rabi'atul Adawiyah, bukan sahaja mengajar untuk menyembunyikan ujian malah
mencadangkan untuk sentiasa kita ingati kenikmatan dan kesenangan yang telah
banyak Allah kurniakan. Di situ sepatutnya nilai yang kita tuju.
Mungkin juga ada yang
akan mempersoal, apakah setiap kesusahan itu hanya perlu ditelan dan didiamkan?
Sudah tentu tidak, tetapi
bersederhanalah supaya tidak terlihat ujian itu menjatuhkan nilai yang kita
ada.
![]() |
| menyembunyikan kesedihan. tanda keegoan atau ketabahan? |
Berkongsi sekadar untuk menenangkan jiwa, merungkai serabut rasa dan
bangunlah semula kerana akhirnya setiap dugaan itu tersedia untuk kita sendiri
menghadapinya.
Hayatilah firman Allah
yang termasuk dalam doa-doa yang sering kita bacakan pagi dan petang ini dan
yakinlah dengan janji Allah bahawa setiap kita tidak dibebankan dengan apa yang
tidak mampu kita hadapinya.
"Allah tidak
membebani seseorang melainkan dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala [dari
kebajikan] yang diusahakannya dan ia mendapat siksaan [dari kejahatan] yang
dikerjakannya. [Mereka berdoa] : "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum
kami jika lupa atau kami bersalah. Ya Tuhan kami janganlah Engkau bebankan kami
beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami.
Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami
memikulnya. Berikanlah maaf kepada kami. Engkaulah penolong kami, maka
tolonglah kami terhadap kaum yang kafir" Al-Baqarah, ayat-286.
Berbanggalah, kerana
Allah memilih kita dengan ujian itu!
Subscribe to:
Posts (Atom)
